Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.  Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara.

 

Misi Kementerian Pendidikan

Mewujudkan sistem pendidikan yang terbaik untuk menghasilkan insan yang mempunyai daya ketahanan tinggi bagi memenuhi asirasi dan kehendak individu, masyarakat dan negara.

 

Falsafah Pendidikan Sekolah
  1. Mewujudkan suasana sekolah yang ceria, selesa dan mesra untuk membolehkan anak murid menimba ilmu sambil mempelajari nilai-nilai yang murni.  Dengan adanya anggapan bahawa sekolah adalah rumah kedua mereka, anak murid akan suka ke sekolah dan menjauhkan diri daripada terlibat dalam kegiatan sosial yang berunsur negatif.
  2. Menggalakkan anak murid mengamalkan semangat berpasukan yang jitu untuk mewujudkan "Masyarakat Penyayang" di sekolah.
  3. Melatih murid-murid bertindak dengan cepat dan penuh keyakinan terhadap segala proses Pengajaran & Pembelajaran (P&P), di samping bersedia menghadapi sebarang cabaran dan rintangan, selaras dengan falsafah kerja yang diilhamkan oleh Guru Besar, iaitu "Work Samrt, Masa Jimat.  Act Fast, Hati Puas".
  4. Berusaha memupuk minat belajar yang berterusan di kalangan anak murid, selain menyalurkan semangat mencintai diri, mencintai keluarga, mencintai sekolah dan mencintai negara di sanubari setiap anak murid.
  5. Membimbing anak murid supaya menjadi golongan yang berinisiatif serta berfikiran lebih kreatif dan inovatif.
  6. Membimbing anak murid agar berjaya meningkatkan prestasi akademik dan kokurikulum agar dapat melengkapkan diri sebagai bakal pemimpin yang sihat, yang berilmu, yang bermoral, yang bermaklumat terkini dan yang berkemahiran atau berkepakaran.
  7. Melatih anak murid agar peka terhadap perubahan dan perkembangan semasa, khususnya dalam bidang sains dan teknologi baru.
  8. Memupuk minat anak murid dalam bidang kebangsaan seperti muzik, senilukis & kraf tangan, tarian & nyanyian, senaman dan sebagainya.
  9. Memastikan semua anak murid berupaya menguasai kemahiran 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira dengan sempurna, di samping menguasai kemahiran berkomputer sepanjang 6 tahun belajar di sekolah ini.
  10. Mendidik anak murid supaya dapat membantu merealisasikan matlamat dan cita-cita Wawasan Pendidikan dan Wawasan 2020 negara kita.

*Falsafah Sekolah ini diwartakan pada bulan September 2002.

 

 

 

 

 

 

 

Revised: October 04, 2002 .